Pertubuhan Dakwah & Tarbiah

Darul Hasani Selangor

Hakikat Zuhud

Hakikat Zuhud Imam Ibnu Rejab Al Hambali berkata: "Sifat zuhud terhadap dunia boleh di simpulkan dengan 3 makna dan kesemuanya merupakan amalan hati bukan amalan zahir atau amalan tubuh".


Imam Abu Sulaiman menegaskan: " Janganlah engkau mempersaksikan seseorang itu zuhud pada lahiriahnya kerana zuhud itu adalah amalan hati". Oleh itu zuhud terhadap dunia ada 3 makna. Makna Pertama: Zuhud ialah seseorang hamba lebih meyakini rezeki di sisi Allah dibandingkan rezeki ditangannya.


Imam Fudhail Bin Iyadh berkata: " Asal zuhud ialah redha terhadap Allah Azza Wa Jalla" Makna Kedua: Zuhud ialah seseorang hamba apabila ditimpa musibah seperti hilang harta, nyawa dan lain-lain maka dia lebih senang dan redha mengharapkan pahala daripada Allah Taala. Hal ini disebabkan dia yakin bahawa yang ada di sisi Allah lebih baik daripada segalanya. Makna Ketiga: Zuhud ialah seseorang hamba memandang sama terhadap pujian dan celaan manusia ketika dirinya berada di atas kebenaran. Hal ini menunjukkan dia zuhud terhadap dunia kerana dia menganggap remeh samada pujian atau celaan di dunia. Ini kerana orang yang mencintai dan mengagungkan dunia bagi mereka amat penting pujian manusia dan benci pada celaan.


Rujukan kitab: Jami'ul Ulum Wal Hikam Imam Ibnu Rajab Al Hambali